Dalam perjalanan hidup yang penuh rintangan ini, kita seringkali merasa kacewa. Kecewa kerana sesuatu yang diharapkan tidak kesampaian, kecewa pada sesuatu yang luput dari genggaman, kecewa dengan keinginan yang tidak tercapai dan kecewa kerana harapan yang tinggi menggunung punah.
Kehidupan ini ibarat hutan belantara. Tempat untuk kita mengejar pelbagai impian dan keinginan. Lumrah manusia dicipta memiliki sifat yang berkehendak dan berkeinginan. Tetapi harus diingatkan, tidak semua yang kita impikan akan tercapai. Sesungguhnya tidak mudah membuat diri kita sedar bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu untuk kita tangisi. Sebaliknya kita perlu berfikiran positif dengan menganggap setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya tersendiri. ALLAH tidak akan mendatangkan dugaan jika insan tersebut tidak mampu menghadapinya. Malah dugaan yang diturunkan itu, diharap dapat memberi kesedaran kepada setiap insan untuk sentiasa bersyukur kepada-NYA.
Kita harus ingat, apa yang memang telah ditetapkan ALLAH untuk menjadi milik kita di dunia, tidak kira samada rezeki, kedudukan, jawatan atau jodoh sekalipun pasti akan ALLAH berikan. Tetapi apa yang memang telah tertulis bukan milik kita, walaupun ia pernah menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha untuk mendapatkannya, tetap tidak akan pernah menjadi milik kita. Percayalah bahawa ALLAH punya rencana yang berbeza untuk setiap umat-NYA. Bersyukurlah dengan apa yang dimiliki sekarang sebelum ianya hilang dari pandangan mata kita.
" Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-NYA kepadamu. Dan ALLAH tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)
No comments:
Post a Comment